Tuesday, October 4, 2011

Friday, July 1, 2011

Imej ikan pari gergasi dirakam jurugambar


SEORANG penyelam mendekati seekor ikan pari manta di Teluk Hanifaru, Kepulauan Maldives baru-baru ini.


MALE - Imej sekumpulan ikan pari manta gergasi berenang di Teluk Hanifaru, Kepulauan Maldives dirakamkan seorang jurugambar Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Jurugambar berkenaan, Warren Baverstock, 42, mengambil masa selama sembilan hari untuk merakamkan kumpulan ikan pari gergasi itu yang tiba untuk memakan plankton di perairan tersebut baru-baru ini.

Terdapat sekitar 200 pari manta dengan lebar lebih tiga meter berkumpul di teluk sebesar padang bola sepak itu untuk mencari makanan. - Agensi

Mati dipatuk ular senduk peliharaan


GAMBAR fail menunjukkan Luke Yeomans mencium kepala seekor ular senduk.

EASTWOOD, Britain - Seorang lelaki yang memelihara 24 ekor ular senduk di belakang rumahnya di sini mati dipatuk seekor haiwan peliharaannya itu, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki itu, Luke Yeomans, 47, pernah menyatakan dalam satu temu bual baru-baru ini bahawa dia tidak akan mati dipatuk ular peliharaannya.

Dia mati diserang sakit jantung selepas dipatuk ular kelmarin manakala mayatnya ditemui polis berada di kawasan tempat dia menyimpan ular tersebut di belakang rumahnya.

Lelaki itu mempunyai pengalaman mengendalikan ular senduk selama 30 tahun.

Kawasan belakang rumahnya itu dianggap sebagai taman perlindungan haiwan ular senduk yang pertama di dunia.

Seorang penduduk tempatan berkata: "Kejadian itu amat mengejutkan. Setiap orang mengetahui bahawa Luke menyimpan ular namun dia amat berpengalaman dan kami tidak menyangka kejadian ini akan berlaku." - Agensi

Justin Timberlake beli laman MySpace


LAMAN rangkaian sosial MySpace.


LOS ANGELES – Penyanyi pop, Justin Timberlake merupakan sebahagian daripada pemilik laman rangkaian sosial MySpace selepas dia bekerjasama dengan syarikat Specific Media untuk membeli laman itu pada harga AS$35 juta (RM105.65 juta) daripada syarikat News Corp milik bilionair Rupert Murdoch, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebagai persediaan untuk menerajui MySpace, Timberlake membina sebuah ibu pejabat di sini selain mengambil enam orang pekerja.

"Semasa kami menemui Justin dan ketika kami berbincang mengenai strategi kami, satu persetujuan telah dicapai dengannya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Specific Media, Tim Vanderhook.

"Salah satu daripada keghairahannya ialah dia seronok membantu artis lain dan mencipta satu komuniti untuk orang ramai menyuarakan perasaan mereka," jelasnya.

MySpace pernah digelar sebagai raja laman jaringan sosial tetapi kewujudannya ditenggelamkan oleh Facebook dan Twitter sekali gus membawa kepada kemerosotan pengguna.

Facebook kini dilaporkan bernilai AS$70 bilion (RM212.3 bilion) manakala ketua pegawai eksekutifnya, Mark Zuckerberg, 27, dilaporkan memiliki kekayaan berjumlah AS$18 bilion (RM54.5 bilion)

Timberlake juga berlakon dalam filem The Social Network yang mengisahkan kehidupan Zuckerberg di Universiti Harvard.

Dalam filem itu, Timberlake memegang watak sebagai presiden pertama Facebook, Sean Parker yang juga pengasas laman stor muzik dan penjual syarikat, Napster. – Agensi

Thursday, June 30, 2011

Anak ular sawa berkepala dua



STEFAN BROGHAMMER memegang seekor anak ular sawa berkepala dua.

BERLIN - Seekor anak ular sawa berkepala dua dilahirkan di Villingen-Schwenningen, selatan Jerman, lapor sebuah akhbar semalam.

Ular itu milik Stefan Broghammer yang kini sepanjang 50.8 sentimeter dan berumur setahun.

Menurut Broghammer, haiwan itu merupakan ular yang kedua diketahuinya mempunyai dua kepala.

Ia tidak mempunyai bisa selain dikenali sebagai ular sawa diraja dan popular sebagai haiwan peliharaan. - Agensi

Pejabat Facebook tidak mewah disangkakan

Kanan: SEBUAH meja dan bangku dalam sebuah bilik untuk pekerja di ibu pejabat Facebook.


MENLO PARK, California - Ibu pejabat baru Facebook di , Amerika Syarikat (AS) tidak mempunyai ciri-ciri kemewahan walaupun ia merupakan antara laman web paling kaya di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.

Tiada permaidani dan hiasan dalaman yang mewah dalam pejabat tersebut.

Terdapat banyak paip terdedah yang dibaluti kertas kerajang perak dengan wayar bergantungan dalam bangunan ibu pejabat berkenaan.

Gambar-gambar ruang dalaman ibu pejabat baru Facebook yang dibina di kawasan seluas 23 hektar di sini disiarkan dalam laman web berkenaan awal bulan ini.

Para pengunjung mungkin terkejut kerana kedatangan mereka disambut dengan siling terbuka dan lantai konkrit tanpa karpet atau sofa mewah.

Ruang dalaman itu yang lebih menyerupai kilang banyak menggunakan kotak kayu yang diubah suai sebagai meja manakala susun atur tempat duduknya pelik kerana ada yang menghadap dinding.

Walaupun bangunan berkenaan mempunyai kapasiti untuk menempatkan 9,000 pekerja, Facebook kini mempunyai sekitar 2,000 kakitangan yang bekerja di premis barunya itu.

Laman Facebook yang bernilai AS$70 bilion (RM212.3 bilion) diramalkan memperoleh pendapatan sekitar AS$2 bilion (RM6 bilion) pada tahun ini.

Berdasarkan maklumat majalah Forbes, Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Marck Zuckerberg merupakan orang ketiga paling kaya di dunia dalam sektor teknologi maklumat.

Zuckerberg yang berusia 27 tahun dilaporkan memiliki kekayaan sehingga mencecah AS$18 bilion (RM54.5 bilion). - Agensi

Tuesday, June 28, 2011

Cahaya ganjil di langit London


IMEJ YouTube pada Jumaat lalu menunjukkan tiga buah cahaya ganjil berbentuk seperti bola (dalam bulatan) bergerak di langit di bandar raya London.

LONDON - Satu rakaman video yang dirakamkan oleh seorang penduduk menunjukkan beberapa cahaya ganjil berbentuk bulat bergerak dengan laju di langit bandar raya London.

Imej itu menunjukkan cahaya tersebut bergerak di atas bangunan Perbadanan Penyiaran British (BBC) di London Barat.

Rakaman itu boleh dilihat di laman YouTube yang menunjukkan seorang lelaki sedang merakamkan cahaya ganjil tersebut menerusi telefon bimbit berkamera.

Dalam rakaman itu terdapat lima cahaya ganjil yang kecil bergerak dengan laju yang dilihat oleh beberapa orang di tepi bangunan di bandar raya ini.

Rakaman tersebut juga menunjukkan satu cahaya yang tidak dikenali berbentuk sfera yang lebih besar bergerak dengan perlahan dekat dengan lima cahaya kecil itu.

Menurut sebuah akhbar semalam, rakaman itu hanya dimuat naik di laman YouTube pada Jumaat lalu.

Berdasarkan tarikh yang dimuat naik di YouTube, kejadian tersebut mungkin berlaku pada 3 Jun, 10 Jun atau 17 Jun lalu kerana masa lebih seminggu diperlukan oleh laman itu untuk melakukan proses penyiaran selepas rakaman video tersebut dihantar. - Agensi

Thursday, June 23, 2011

Cas telefon bimbit guna periuk didih air


SEORANG kakitangan syarikat TES NewEnergy menunjukkan sebuah periuk yang menindih air boleh mengecas sebuah telefon bimbit dalam satu demonstrasi baru-baru ini.

TOKYO - Sebuah syarikat Jepun memperkenalkan kaedah terbaru mengecas telefon bimbit di luar rumah selepas bencana alam melanda iaitu dengan memanaskan sebuah periuk di atas unggun api.

Periuk terma elektrik tersebut yang dikenali sebagai Hatsuden-Nabe menukar haba air mendidih kepada tenaga elektrik yang kemudian disalurkan ke peralatan seperti telefon pintar, pemain muzik dan sistem pengesan kedudukan global.

Syarikat TES NewEnergy yang beribu pejabat di Osaka, mula menjual periuk itu di Jepun pada harga AS$299 (RM907) bulan ini sebelum ia dipasarkan di negara-negara membangun tidak lama lagi.

Periuk berkenaan dilengkapi bahan seramik termaelektrik yang menghasilkan arus elektrik melalui perbezaan suhu 550 darjah Celsius di dasar periuk dan air mendidih di dalamnya pada suhu 100 darjah Celsius.

Syarikat berkenaan menyatakan, gajet itu mengambil masa tiga hingga lima jam untuk mengecas sebuah iPhone dan para pengguna boleh memasak makanannya pada sama yang sama.

"Saya mendapat idea mencipta periuk ini apabila melihat rakaman televisyen yang memaparkan mangsa-mangsa gempa bumi membuat unggun api untuk memanaskan badan mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif TES NewEnergy, Kazuhiro Fujita. - AFP

Budak terperangkap di celah pendingin hawa


BUDAK lelaki itu ditarik keluar dari celah sebuah alat pendingin hawa oleh seorang lelaki.


BEIJING - Seorang budak lelaki berusia tiga tahun diselamatkan oleh seorang lelaki dengan menarik badannya keluar dari celah sebuah alat pendingin hawa dekat tingkat tujuh di sini, lapor sebuah akhbar semalam. Kejadian itu berlaku apabila budak tersebut terjatuh dari balkoni apartmennya di tingkat lapan semasa dia tinggal berseorangan kerana ibu bapanya tiada di kediaman tersebut, baru-baru ini.

Jiran-jirannya yang mendengar bunyi jeritan budak tersebut bertindak menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan. Namun, mereka mengambil tindakan sendiri apabila melihat budak tersebut tersangkut di celah alat pendingin hawa dekat tingkat tujuh. Seorang jirannya berdiri di tepi tingkap dan menarik lengan budak tersebut dari celah alat pendingin hawa itu untuk menyelamatkannya. - Agensi

Pemuda miliki tumor 80kg


NGUYEN DUY HAI yang tinggal di Da Lat, Vietnam mempunyai tumor selebar satu meter di kaki kanannya.


HANOI - Seorang pemuda Vietnam berusia 31 tahun, Nguyen Duy Hai merayu diberikan bantuan untuk membuang ketumbuhan seberat 80 kilogram (kg) di kaki kanannya, lapor sebuah akhbar semalam. Ketumbuhan itu sudah wujud sejak dia dilahirkan tetapi ketua jabatan pemeriksaan sebuah hospital tumor di Hanoi, Vu Van Thach berkata, ia dianggap yang paling besar pernah direkodkan di Vietnam. Menurut Thach, tumor itu bukan sejenis kanser dan ia mungkin mutasi genetik.

Walaupun kaki kanannya disah dipotong 14 tahun lalu, dia masih mempunyai ketumbuhan selebar satu meter itu. "Saya tidak boleh melakukan sebarang perbuatan. Saya hanya boleh duduk dan baring," katanya di rumahnya di bandar Da Lat, Vietnam. Dia kini dijaga oleh ibunya yang berusia 61 tahun. Pemuda itu merayu supaya dia diberikan bantuan kewangan untuk menjalani pembedahan kerana dirinya hidup dalam kemiskinan. - Agensi