SHAH ALAM – Sebanyak 17 kereta Skuad Cakna Sinar Harian berlepas menuju ke utara tanah air bagi memulakan program Promosi Konvoi Jelajah Negeri Perak bermula 16 hingga 23 Februari ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd (KKSB), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, program selama tiga hari dua malam itu bertujuan mempromosikan akhbar Sinar Harian di setiap daerah negeri itu.
Beliau berkata, konvoi yang bermula seawal jam 8 pagi itu juga bertujuan bertemu masyarakat setempat di samping beramah mesra bagi memperkenalkan wartawan ‘Skuad Cakna’ yang ditempatkan mengikut daerah berlainan.
"Saya berharap konvoi yang bermula pada hari ini akan selamat tiba ke lokasi dengan jayanya.
"Saya yakin dengan pengalaman staf terbabit dengan promosi ini dan amat berharap semuanya berjalan lancar," katanya selepas sesi ‘flag off’ konvoi di pekarangan Kompleks Karangkraf, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarang Kumpulan KKSB, Abd Jalil Ali, Pengurus Besar Sumber Manusia KKSB, Ahmad Nazri Mohd Noor dan Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Negeri, Che Husein Omar.
Sementara itu, Che Husein berkata, beliau mengingatkan petugas marshall supaya mematuhi peraturan lalu lintas sepanjang program konvoi itu berlangsung.
"Marshall perlu bertanggungjawab, sekiranya berada di persimpangan dan melihat lampu merah di hadapan, marshall perlu mengikut peraturan lalu lintas dengan memberhentikan kenderaan.
"Kita melihat selalunya berlaku kemalangan melibatkan peserta konvoi apabila marshall tidak mengikut peraturan yang ditetapkan," katanya.
No comments:
Post a Comment